Terdapat
sebuah asrama di mana semua pelatih untuk menjadi jururawat tinggal.
Mereka-mereka ini masih lagi belajar untuk menempatkan diri sebagai
jururawat sekeluarnya mereka dari pusat latihan tersebut. Mereka tidak
mempunyai apa-apa masalah di asrama itu sehingga kini.
Beberapa minggu kemudian, seluruh
asrama diarahkan untuk berpindah ke asrama yang lain. Asrama yang lain
itu tidaklah terlalu jauh daripada asrama sebelumnya. Arahan ini
dikeluarkan atas alasan keadaan bangunan asrama lama yang kurang
memuaskan dan khuatir akan mengancam nyawa di mana bangunan itu mungkin
sekali akan runtuh.
Para pelatih pun mengemas
barang-barang mereka dan berpindah ke asrama baru yang lebih cantik.
Dalam banyak-banyak pelatih jururawat ini, terdapat 3 orang sahabat yang
sangat rapat ibarat isi dengan kuku. Mereka ini ialah Nita, Aisyah dan
Nurul. Mereka ditempatkan di dorm bernombor 342. Mereka bertiga ni yang
peliknya suka sangat bercerita cerita hantu di waktu malam. Bukan itu
yang peliknya, yang peliknya ialah sebenarnya mereka ni jenis orang yang
sangat penakut. Bak kata pepatah Bunk, "Tak Sedar Diri Lah Katakan".
Bayangkan, mereka ni penakut tetapi suka bercerita pasal hantu tambahan
pula di waktu malam. Eeee, peliknya.
Sedar tak sedar, malam pun tiba.
Setelah selesai menjamah makanan yang disediakan di dewan makan, para
pelatih pun pulang ke dorm masing-masing. Begitu juga Nita, Aisyah dan
Nurul. Mereka juga pulang ke dorm mereka. Mereka menyiapkan diri
masing-masing untuk tidur. Apabila ketiga-tiga mereka meletakkan kepala
di atas bantal, mereka cuba melelapkan mata. Malangnya, ketiga-tiga
mereka masih tidak dapat tidur. Apa lagi, mereka pun mulakanlah kerjaya
mereka dengan bercerita cerita hantu. Masing-masing ada cerita hantu.
Walaupun kaki dah menggeletar dan berpeluh-peluh, tetapi mereka masih
menggagahkan diri untuk mendengar cerita hantu yang diceritakan. Tak
lama kemudian, tiga sahabat tadi pun tertidur.
Tepat jarum jam menunjukkan pukul
2.30 pagi, Nita dengan tiba-tibanya terjaga dari tidur yang lena atas
alasan hendak membuang air kecil. Malangnya, dorm 342 agak jauh dari
tandas. Kisah hantu yang diceritakan oleh Aisyah dan Nurul tadi masih
terngiang-ngiang di telinganya. ini membuatkannya berasa takut untuk
pergi ke tandas seorang diri. Dia pun cuba mengejut Aisyah dan diakhiri
dengan kegagalan. Kemudian dia mengekut Nurul lalu Nurul menjawab, "Saya
mengantuklah, awak pergi la sendiri. Tak ada apa-apa pun. Jangan
takut". Dengan kata-kata gramatis yang dilontar itu, Nurul pun
menyambung tidurnya.
Dalam keadaan yang memberanikan diri,
Nita pun berjalan menuju ke tandas yang terletak di tingkat bawah.
Setiap bulu roma Nita juga menegak dengan jitu dan padu. Akhirnya, Nita
pun tiba di tandas. Dia pun masuk tanpa rasa segan dan silu. Semasa dia
sedang menunaikan hajatnya, dia terbau sesuatu yang sangat harum. Nita
pun menjenguk di luar pintu tandasnya. Dengan perasaan yang amat
terkejut dan takut, Nita menutup mulutnya menggunakan tangan untuk
mengelak daripada didengari oleh apa yang dia nampak.
Nita melihat sesuatu yang menyerupai
manusia sedang duduk bertinggung mencuci pakaian. Rambutnya panjang dan
berwarna putih. Nita teringat akan kata-kata ibunya, jika ternampak
sesuatu yang aneh, cubalah tegur. Nita pun bergerak perlahan-lahan ke
arah wanita itu dan menegur, "Siapakah kamu?". Tiada jawapan diterima.
Tanpa berputus asa, Nita bertanya lagi, "Kenapa kamu Berada Di Sini?".
Masih tiada jawapan diterimanya. Pertanyaan ketiga Nita pun dilontar,
"Apa Yang Bau Wangi Sangat Ni?". Akhirnya, wanita itu melihat ke wajah
Nita dan berkata "Makcik Guna Sabun DAIA baru, Lupekan yang Lain".
Rupa-rupanya mak cik tua itu
menumpang di tandas asrama itu untuk mencuci pakaian kerana bekalan air
di rumahnya yang tidak jauh dari situ terputus bekalan air. Nita pun
berasa lega dan menuju pulang ke dormnya. Tidur Nita lena sungguh malam
itu.